Monday 22 September 2014

Masalah Penguasaan Pembelajaran Dan Cara Mengesan Kesukaran Pembelajaran Bahasa Melayu

Masalah Penguasaan Pembelajaran Dan Cara Mengesan Kesukaran Pembelajaran Bahasa Melayu
            Masalah pengajaran bahasa Melayu merujuk kepada keadaan apabila murid-murid tidak menguasai kemahiran bahasa melalui pengajaran dan pembelajaran yang biasa seperti mana yang dirancang oleh guru mata pelajaran. Antara kemahiran yang dititikberatkan dalam pembelajaran bahasa Melayu adalah kemahiran lisan yang merangkumi kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur, kemahiran membaca, dan kemahiran menulis. Kesemua kemahiran ini dikenali sebagai kemahiran 3M yang merupakan kemahiran asas yang harus dikuasai sepenuhnya oleh setiap murid bermula pada pada Tahap 1 sekolah rendah. Namun begitu, terdapat beberapa masalah yang wujud dalam penguasaan pembelajaran kemahiran-kemahiran tersebut oleh para murid disebabkan oleh beberapa faktor penghalang seperti yang dijelaskan di bawah.

Masalah Kemahiran Lisan (Kemahiran Mendengar & Kemahiran Bertutur)
            Masalah utama dari segi kemahiran lisan yang wujud dalam kalangan murid sekolah rendah adalah kosa kata yang terhad. Masalah kosa kata terhad ini berkait rapat dengan kemahiran yang lain seperti kemahiran membaca. Hal ini demikian kerana, amalan membaca pelbagai sumber akan pasti menambah kosa kata seseorang apabila istilah-istilah itu sering dibaca dan diamalkan dalam pergaulan seharian. Amalan membaca istilah-istilah yang baharu dan dikukuhkan lagi dengan kemahiran lisan iaitu melalui pertuturan sudah tentu akan menambah kosa kata para murid.
            Masalah penggunaan dialek dan bahasa ibunda juga menjadi salah satu masalah penguasaan pembelajaran kemahiran lisan bahasa Melayu yang standard. Hal ini demikian kerana pengaruh latar belakang keluarga yang mengamalkan bahasa ibunda sahaja secara tegar dan kurang penekanan terhadap pembelajaran bahasa Melayu yang standard merumitkan lagi keadaan. Hal ini juga akan mengakibatkan wujudnya kelemahan dalam mengamalkan kesantunan berbahasa yang berpunca daripada kurang menguasai kemahiran lisan dengan betul.

 Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Mendengar
Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), pengajaran kemahiran mendengar bukanlah sesuatu yang mudah kerana terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi penguasaannya. Antara faktor yang dikemukakan adalah seperti perubahan respons, menyampuk, terleka, fikiran tertutup dan kebosanan.  
Dalam sesuatu perbualan atau interaksi, perubahan respons yang berbeza-beza antara seseorang individu dengan individu yang lain akan mempengaruhi pendengaran. Setiap penutur yang ingin menegakkan pendirian masing-masing tanpa berfokus kepada topik yang dibincangkan akan memberi impak kepada kemahiran mendengar pendengar yang terlibat dan akan menjadi tidak fokus. Sebagai contoh, sekiranya perbincangan dalam kelas yang melibatkan murid-murid tidak fokus pada topik akan mengganggu kemahiran mendengar rakan-rakan yang lain kerana input yang tidak jelas dan tidak berkesinambungan.
Faktor menyampuk pula merujuk kepada gangguan dalam perbualan, iaitu penutur kedua atau seumpamanya mengambil giliran bertutur pada masa penutur pertama sedang bertutur. Hal ini akan menggangu pendengaran kerana idea dan mesej yang didengar sering terganggu dan tidak sempurna. Sebagai contoh, sekiranya murid C sering mencelah perbualan atau penyampaian idea semasa murid A  bertutur maka penyampaian idea dan pandangan yang ingin disampaikan oleh murid A akan terganggu dan pendengaran pendengar dan penutur sendiri akan mengalami gangguan.
Faktor terleka juga merupakan salah satu perkara yang menghalang penguasaan kemahiran mendengar. Terleka merupakan gangguan dalam aktiviti mendengar yang dialami oleh kebanyakan murid. Situasi terleka ini akan berlaku apabila pendengaran murid mengembara dan menerawang. Hal ini akan menyebabkan input yang disampaikan oleh penutur tidak diserap. Terleka ini berkemungkinan besar berlaku kerana rasa mengantuk hingga menyebabkan minda murid lambat memproses maklumat atau bercabang ke arah lain dan tiada penumpuan.
Faktor fikiran tertutup juga mempengaruhi kemahiran mendengar kerana mendengar dengan fikiran bertutup akan memberi implikasi terhadap pendengaran iaitu kehilangan maklumat penting yang perlu diketahui. Fikiran tertutup juga akan menyebabkan aktiviti mendengar tidak aktif kerana input hanya sampai ke telinga dan tidak dihantar ke otak untuk diproses.
Faktor kebosanan turut mempengaruhi penguasaan kemahiran mendengar. Hal ini demikian kerana, kebosanan akan menyebabkan murid gagal memberi tumpuan kepada perkara yang diujarkan. Kebosanan ini berlaku mungkin kerana penutur bertutur terlalu pantas hingga murid tertinggal banyak maklumat penting atau penutur bertutur terlalu perlahan berbanding keupayaan otak kita untuk bertindak balas. Sebagai contoh, sekiranya guru menyampaikan pengajaran dengan bertutur secara pantas maka murid akan berasa bosan kerana tidak dapat memberi tumpuan kepada pertuturan guru tersebut. Hal ini sudah tentu akan menggangu penguasaan murid terhadap kemahiran mendengar.

Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Bertutur
Faktor yang mempengaruhi kemahiran bertutur dapat dibahagikan kepada tiga aspek seperti faktor fisiologi, fizikal, dan persekitaran, Siti Hajar Abdul Aziz (2009).
Faktor fisiologi ini sendiri dapat dibahagikan dari segi jantina, penyakit dan kecerdasan. Faktor jantina amat berperanan dalam mempengaruhi pertuturan pada peringkat awal kanak-kanak. Terdapat kajian yang menyebut bahawa kanak-kanak perempuan dapat bertutur lebih awal daripada kanak-kanak lelaki. Namun begitu, hal ini bukanlah sesuatu halangan yang kekal bagi kanak-kanak lelaki. Hal ini demikian kerana, melalui aktiviti lisan yang diadakan secara menyeluruh oleh guru dalam bilik darjah, murid dapat menguasai kemahiran bertutur dengan baik.
Faktor penyakit yang juga merupukan salah satu aspek dalam faktor fisiologi memainkan peranan yang agak ketara kerana alat artikulasi yang gagal berfungsi disebabkan beberapa penyakit mengakibatkan murid tidak dapat menguasai kemahiran bertutur. Terdapat beberapa jenis penyakit biologikal yang memberi kesan kepada keupayaan bertutur murid. Sebagai contoh, kecacatan pada pita suara menyebabkan murid tidak berupaya mengeluarkan bunyi bersuara lalu menyebabkan murid tidak dapat betutur. Serangan penyakit pada tenggorok dan peparu juga memberi kesan kepada pertuturan. Hal ini demikian kerana, alat-alat tersebut berperanan dalam mengeluarkan bunyi bahasa. Selain itu, kecacatan pada otak pula memberi kesan kepada kegagalan alat pertuturan untuk berfungsi dengan baik kerana proses fonologi terganggu sehingga menyebabkan kesukaran dalam penginterpretasian mesej dan seterusnya penghasilan ujaran yang bercelaru.

 Faktor kecerdasan berkaitan dengan otak yang cerdas dan dapat berfungsi secara sempurna dalam menghasilkan bahasa. Berikutan itu, murid-murid yang cerdas dapat bertutur dengan mudah dan lancar serta dapat melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bertutur seperti berpidato, berbahas, bersyarah dan seumpamanya. Manakala, murid yang tidak berupaya untuk bertutur secara lancar akan dikatakan sebagai kanak-kanak lembam atau tidak cerdas. Namun begitu, masalah murid lembam dapat diatasi dengan bantuan guru pemulihan di peringkat sekolah.
Faktor kedua yang menghalang penguasaan kemahiran bertutur adalah faktor fizikal. Faktor ini terbahagi kepada dua unsur iaitu alat pendengaran dan alat artikulasi atau pertuturan. Masalah alat pendengaran merujuk kepada ketidakupayaan alat pendengaran iaitu telinga untuk mendengar sebarang bunyi atau disebut pekak. Keadaan pekak berlaku disebabkan kerosakkan pada gegendang telinga yang seharusnya berfungsi untuk menerima dan menyerap sebarang bunyi luaran. Murid yang pekak sejak kecil tidak berupaya untuk bertutur kerana mereka tidak pernah mendengar bunyi bahasa. Oleh hal yang demikian, mereka akan ditempatkan dalam kelas pendidikan khas bagi membolehkan mereka mempelajari dan menguasai bahasa isyarat untuk berkomunikasi.
Manakala masalah alat pertuturan pula merujuk kepada ketidakupayaan alat artikulasi untuk berfungsi dengan baik bagi menghasilkan bunyi bahasa. Kerosakan pada alat artikulasi ini akan menyebabkan berlakunya kes bisu atau gagap. Hal ini termasuklah juga dengan keadaan bibir yang sumbing dan rekahan pada lelangit. Murid yang mengalami sumbing atau gagap masih boleh bertutur dengan cara mereka tersendiri untuk menyampaikan mesej. Manakala, bagi murid yang bisu pula akan ditempatkan dalam kelas pendidikan khas untuk membolehkan mereka mempelajari dan menguasai bahasa menggunakan bahasa isyarat.
Faktor seterusnya adalah faktor persekitaran yang terdiri daripada dua unsur iaitu keluarga dan sosioekonomi. Keluarga juga memainkan peranan dalam penguasaan kemahiran bertutur seseorang murid. Murid yang mempunyai latar belakang keluarga dan persekitaran yang pasif dan tidak mendorong kepada interaksi dan komunikasi antara satu sama lain menyebabkan aktiviti bertutur murid tersebut terhad. Murid seperti ini akan mengalami kekurangan perbendaharaan kata untuk dituturkan di samping mengalami kesukaran untuk mempelajari struktur bahasa dan tatabahasa yang betul. Hal ini akan mempengaruhi kefasihan dan kelancaran murid bertutur. Namun begitu, keadaan seperti ini dapat ditangani dengan mengadakan pelbagai aktiviti lisan di dalam kelas untuk melatih semua murid menguasai kemahiran bertutur tanpa mengira latar belakang keluarga.
Faktor sosioekonomi juga dianggap secara tidak langsung mempengaruhi keupayaan bertutur seseorang murid. Hal ini demikian kerana, ibu bapa yang mempunyai taraf hidup yang tinggi dapat menyediakan segala kemudahan pembelajaran bahasa kepada anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka mampu menyediakan kemudahan internet, televisyen, buku-buku, dan perisian pembelajaran bahasa untuk mempertingkat keupayaan bertutur anak-anak mereka. Dengan ini, anak-anak mereka mampu menguasai kemahiran bahasa pada peringkat awal kanak-kanak. Manakala, bagi kanak-kanak yang berasal daripada sosioekonomi yang rendah, kemudahan pembelajaran kemahiran bahasa terhad. Hal ini akan menyebabkan mereka menguasai kemahiran bertutur mengikut perkembangan yang biasa sahaja. Namun begitu, perbezaan sosioekomi ini dapat diatasi dalam konteks penyediaan kemudahan pembelajaran bahasa melalui penyediaan kemudahan seperti saluran Astro Kampus di sekolah, kemudahan pelbagai bahan ilmiah untuk pembelajaran bahasa dan seumpamnya di peringkat sekolah.

Masalah Kemahiran Membaca
            Antara masalah yang sering dihadapi oleh para murid dalam menguasai kemahiran membaca pada peringkat awal adalah seperti keliru pada huruf yang hampir sama. Sebagai contoh, murid akan keliru dengan huruf b-d, m-w, u-n dan seumpamanya yang mempunyai bentuk yang hampir serupa. Murid-murid juga akan keliru apabila wujudnya perbezaan antara huruf besar dan huruf kecil kerana kurang pendedahan awal semasa memperkenalkan huruf-huruf rumi. Misalanya, mereka akan keliru apabila A menjadi a, b menjadi B mengikut situasi-situasi berkenaan. Selain itu, terdapat juga beberapa murid yang mengalami masalah disleksia yang merupakan masalah dari segi kesihatan, kerana imej huruf atau perkataan yang dipantulkan dalam mata murid tersebut tidak tepat dan mengakibatkan murid tersebut mengalami masalah dalam mengusai kemahiran membaca dengan sepenuhnya.
            Masalah dari segi kurang latihan atau penekanan kepada amalan membaca dengan intonasi dan sebutan yang tepat juga akan berlaku seperti membaca secara berlagu, tidak dapat membatangkan suku kata tertutup di samping tidak dapat membatangkan perkataan yang mengandungi lebih daripada dua suku kata.

Faktor-faktor Menghalang Penguasaan Kemahiran Membaca
Faktor-faktor yang menyebabkan masalah dalam penguasaan kemahiran membaca mempunyai kesamaan serba sedikit bersama kemahiran lisan. Hal ini demikian kerana, kemahiran membaca juga melibatkan alat-alat pendengaran, alat-alat artikulasi, dan seumpamanya. Antara faktor penghalang yang menyebabkan masalah penguasaan kemahiran membaca adalah seperti faktor fizikal, faktor kognitif dan bahasa, faktor emosi, persekitaran dan pendidikan.
            Faktor penyakit seperti serangan penyakit pada tenggorok dan paru-paru juga memberi kesan kepada kemahiran membaca sepertimana ia menjejaskan kemahiran bertutur. Hal ini demikian kerana, alat-alat tersebut berfungsi dalam mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa. Maka, kemahiran membaca secara mekanis akan dipengaruhi dalam menghasilkan bunyi bahasa dengan sebutan dan intonasi yang betul. Di samping itu, kecacatan pada pita suara juga akan mempengaruhi penghasilan bunyi bahasa apabila alat artikulasi tersebut tidak dapat menghasilkan bunyi-bunyi getaran pita suara, hentian glotis dan seumpamanya. Masalah penglihatan juga akan mempengaruhi penguasaan kemahiran membaca seseorang murid. Hal ini demikian kerana, huruf yang tidak kelihatan akibat kerabunan akan menyebabkan kesukaran kepada otak kanak-kanak untuk menginterpretasikan maklumat yang betul bagi melahirkan bunyi bahasa.
Faktor emosi juga mempengaruhi keberkesanan dalam pembelajaran kemahiran membaca. Hal ini demikian kerana, emosi murid yang tidak stabil sudah tentu akan menyebabkan murid tersebut tidak fokus kepada bahan bacaan sama ada secara mekanis mahupun mentalis. Gangguan emosi ini akan mengakibatkan tumpuan murid  tersasar daripada mempelajari kemahiran bacaan dengan menggunakan sebutan, intonasi, jeda dan nada yang betul serta sesuai seperti yang digariskan dalam objektif kemahiran membaca Dokumen Standard Bahasa Melayu Tahap 1.
Faktor persekitaran yang menjadi masalah dalam pembelajaran kemahiran membaca merujuk kepada latar belakang keluarga murid tersebut. Murid-murid yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua akan mengalami masalah disebabkan oleh pengaruh bahasa ibunda yang tegar. Latar belakang keluarga yang tidak mementingkan pembelajaran kemahiran bahasa kemungkinan besar tidak dapat menyediakan keperluan yang lengkap kepada murid-murid untuk mempelajari kemahiran membaca. Bahan yang tidak mencukupi akan membiasakan murid untuk tidak yakin untuk mengamalkan kemahiran membaca. Hal ini akan menyebabkan murid kurang menguasai pembelajaran kemahiran bahasa tersebut.
2.3 Masalah Penguasaan Kemahiran Menulis
            Masalah kemahiran ini dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu dari segi mentalis dan mekanis. Dari segi mekanis, masalah yang dihadapi oleh murid dalam menguasai kemahiran menulis adalah seperti mencampuradukkan huruf besar dan hurf kecil dalam penulisan, kecondongan dan bentuk huruf yang tidak kekal iaitu ada ketikanya murid menulis secara menegak dan huruf yang bersaiz kecil ada ketikanya berlaku secara berlawanan. Masalah salah ejaan dapat dikategorikan dalam penulisan mekanis dan mentalis apapbila ia melibatkan fungsi otak dalam menghasilkan perkataan-perkataan betul seiring dengan penulisan dan pemikiran. Dari segi penulisan mentalis pula, murid sering menghadapi masalah seperti lupa format penulisan, lemah dalam penyampaian idea, lemah dalam penggunaan tanda baca, penggunaan ayat yang tidak gramatis dan kosa kata terhad yang berpunca daripada kurang pendedahan daripada guru dan kurang latih tubi dalam menguasai kemahiran menulis.
2.3.1 Faktor-Faktor Menghalang Penguasaan Pembelajaran Kemahiran Menulis
            Penguasaan murid-murid dalam pembelajaran kemahiran menulis adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti yang telah dikemukakan oleh Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011) dalam kajian mereka seperti kelemahan murid sendiri, sikap negatif murid yang kurang berminat terhadap pelajaran, kelemahan strategi pengajaran guru, kekurangan isi, kesilapan memilih tajuk, penggunaan bahasa dialek dan seumpamanya.
Dalam kajian Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011) telah dipetik kata-kata Haris Fadzilah Kassim (2002) yang menyatakan bahawa cara dan gaya guru mengajarkan karangan di dalam kelas lebih kepada memberi pendedahan secara menyeluruh tentang sesuatu tajuk, demi memenuhi keperluan peperiksaan. Hal ini menyebabkan hanya  hasil karangan yang diberi tumpuan oleh guru di samping pengajaran proses mengarang diabaikan. Pngajaran guru kurang memberi pendedahan tentang kemahiran, teknik dan strategi menulis karangan dalam kelas menyebabkan para murid kurang bersedia untuk menulis, Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011). Roselan baki (2001) menyatakan bahawa kebanyakan guru pada umumnya masih kurang jelas tentang kandungan ilmu penulisan dan mereka menerapkan pengalaman yang dialami ketika mempelajari penulisan di sekolah dahulu sebagai asas mengajarkan penulisan kepada murid-murid.
Berdasarkan petikan kajian , Che Zanariah Che Hassan & Fadzilah Abdul Rahman (2011) masalah guru yang tidak mengikuti sepenuhnya sukatan pelajaran terkini dalam pengajaran kemahiran juga merupakan salah satu faktor yang boleh menjejaskan pencapaian murid dalam kemahiran menulis dan membantutkan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menghasilkan murid yang mampu mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran dan seterusnya mengembangkan kemahiran penulisan (KPM, 2003).

Secara ringkasnya, antara faktor masalah penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa secara umum adalah faktor pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kepada kegagalan guru untuk menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan untuk memastikan penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa oleh murid-murid. Seterusnya adalah faktor fizikal dan deria iaitu keadaan fizikal yang buruk, kecatatan sensorimotor atau berpenyakit yang mengakibatkan kegagalan murid untuk memberi tumpuan dan menguasai pembelajaran. Masalah bertuturan juga menjadi salah satu penyebab masalah penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa Melayu iaitu kemahiran bertutur khususnya yang berpunca daripada kecacatan alat artikulasi mahupun pengaruh dialek atau bahasa ibunda yang ketara. Faktor emosi juga dititikberatkan dalam penentuan penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa oleh murid-murid yang tidak pandai mengawalnya. Hal ini secara tidak langsung melibatkan faktor mental dalam memastikan penguasaan pembelajaran kemahiran bahasa. Hal ini demikian kerana emosi yang tidak stabil berkemungkinan besar akan menjejaskan kesihatan mental sekaligus menjadi faktor berlakunya masalah penguasaan pembelajaran bahasa oleh para murid.

No comments:

Post a Comment