Sunday 20 April 2014

APA ITU KEMAHIRAN LISAN?

1.0  PENDAHULUAN
Kemahiran lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap murid. Murid-murid perlu menguasai kemahiran lisan terlebih dahulu sebelum menguasai kemahiran-kemahiran bahasa yang lain seperti kemahiran membaca dan meunlis. Murid-murid yang dapat menguasai kemahiran lisan, lazimnya dapat menguasai kemahiran yang lain dengan baik. Kemahiran lisan mencakupi dua kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kedua-dua kemahiran ini berpengaruh atas satu sama lain untuk menentukan penguasaan kemahiran lisan. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2009), pertuturan yang baik bukan bererti kita meniru cara atau gaya percaskapaan orang lain, tetapi ia diperoleh hasil daripada kita mendengar dengan baik ujaran penutur. Oleh itu, bagi menguasai kemahiran lisan dengan baik, murid-murid harus dilatih untuk menggunakannya secara kerap dan mengajarkan secara terancang.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, “lisan” merujuk kepada sesuatu yang diucapkan atau tidak bertulis. Secara umumnya, lisan merupakan percakapan atau pertuturan iaitu merujuk kepada kegiatan melahirkan bahasa secara verbal melalui suaura atau sebutan (Siti Hajar Abdul Aziz,2009). Menurut Tuan Jah Tuan Yusof et.al(2011), kemahiran lisan adalah komunikasi bahasa yang paling asli. Hal ini demikian kerana, seseorang dianggap fasih berbahasa tanpa perlu menguasai kemahiran membaca dan menulis. Namun begitu, penguasaan kemahiran-kemahiran asas selain kemahiran lisan tidak boleh diabaikan dalam matlamat melahirkan modal insan yang seimbang dari segi penguasaan kemahiran.
1.1  Konsep Kemahiran Mendengar
Menurut Dokumen Standard Bahasa Malaysia SK Tahap 1, kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengar teliti, memahami dan menghayati secara lisan perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberi respons. Amnya, kemahiran mendengar adalah salah satu daripada kemahiran bahasa dan perlu dipelajari secara intensif terutama ketika murid-murid berada di tahap sekolah rendah.

1.2  Konsep Kemahiran Bertutur
Menurut Dokumen Standard Bahasa Malaysia SK Tahap 1, kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penggunaan tatabahasa yang betul diberi penekanan dalam kemahiran bertutur.

2.0  PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR
            Kemahiran mendengar memainkan peranan penting dalam pergaulan seseorang. Kita perlu mendengar dan memahami ujaran penutur dan dengan itu kita akan ketahui perkara atau isu yang berlaku disekeliling kita. Oleh hal yang demikian, kita perlu memeupuk dan melatih kemahiran mendengar dalam diri kita untuk membolehkan kita menjadi pendengar yang baik.
            Walaupun, kemahiran mendengar bukan merupakan satu mata pelajaran khas di sekolah, namun kemahiran ini digunakan secara intensif dalam semua mata pelajaran yang lain. Oleh hal yang demikian, kemahiran mendengar perlu diajar kepada murid-murid sama seperti kemahiran membaca dan menulis. Secara amnya, kemahiran mendengar dapat dibahagikan kepada tiga peringkat seperti peringkat permulaan, peringkat pertengahan dan peringkat maju.
Pada peringkat permulaan, murid diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih bunyi. Sebagai contoh, guru akan merakam beberapa bentuk bunyi seperti bunyi haiwan ternakan, bunyi kenderaan dan seumpamanya lalu meminta murid untuk mengecam setiap bunyi yang diperdengarkan berdasarkan pengetahuan mereka. Selepas itu, murid akan diminta untuk mengajuk dan memilih bunyi-bunyi yang berkaitan berdasarkan arahan guru.
Seterusnya, murid diajar untuk mengecam makna perkataan, frasa dan ayat. Melalui pelaksaanaan pengajaran ini, murid diminta untuk mendengar, mencatatkan perkataan yang didengar dan seterusnya menyatakan makna perkataan tersebut secara spontan. Lazimnya, guru akan menggunakan rakaman lagu atau pantun dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini.
Pada peringkat ini juga murid akan diajar dan dilatih untuk melakukan suruhan atau arahan yang diberikan oleh guru. Sebagai contoh, murid diberi arahan untuk mengangkat tangan kanan, maka murid tersebut akan bertindak balas dengan mengangkat tangan kanan. Dalam melakukan aktiviti tersebut, murid diminta untuk mendengar secara teliti arahan yang diberi oleh guru sebelum bertindak mengikut arahan.
Pada peringkat permulaan juga, murid akan bertindak terhadap soalan-soalan mudah. Sebagai contoh, murid dikehendaki untuk menjawab persoalan-persoalan mudah yang diutarakan kepadanya secara lisan. Bagi memudahkan pelaksanaan, aktiviti ini akan dilakukan secara berpasangan iaitu seorang murid akan bertanya dan seorang lagi akan menjawab.
Pada peringkat pertengahan pula, murid berupaya untuk mengecam dan mengingat fakta dan butiran yang didengar secara tepat dan terperinci. Pada tahap ini, murid perlu berupaya untuk mengingat fakta dan butiran yang didengar secara tepat dan dapat pula mencatatkannya dalam bentuk nota. Pada peringkat ini juga, murid dapat mengenal maklumat khusus. Sebagai contoh, murid akan dilatih untuk mengenal dan mengasingkan maklumat khusus daripada maklumat yang tidak khusus daripada perbualan yang didengar.
Pada peringkat pertengahan juga, murid berupaya untuk mengesan urutan. Sekiranya mereka diperdengarkan proses membuat sandwic maka mereka seharusnya dapat mengesan dan meyatakan urutan tersebut langkah demi langkah, sama seperti yang didengarnya. Selain itu, pada peringkat ini juga murid didedahkan untuk mengenal pasti sebab dan akibat. Dalam hal ini, murid akan mendengar secara teliti sesuatu perkara bagi mengenal pasti punca dan sebab kejadian perkara yang didengari lalu menjelaskan kesan dan akibat yang bakal berlaku.
Murid juga akan berupaya untuk mengenal hubungan orang yang berinteraksi pada peringkat pertengahan kemahiran mendengar. Sekiranya perbualan tersebut melibatkan sebilangan penutur yang tidak mengenali antara satu sama lain, maka pendengar perlu mendengar interaksi tersebut dengan lebih teliti. Pada peringkat pertengahan ini juga, murid akan dapat mengesan sikap dan perasaan orang yang bertutur. Murid yang memberi tumpuan terhadap ujaran penutur sepanjang perbualan berlangsung berupaya untuk mengesan sikap dan persaan penutur.
Pada peringkat ini, murid seharusnya mampu mengenal isi-isi penting. Sebagai contoh, murid dapat mengenal pasti isi-isi utama dalam sesebuah karangan. Pada peringkat ini juga, murid dapat mentafsir maksud penutur. Pada tahap ini, murid seharusnya mampu menginterpretasikan pertuturan bagi menepati maksud dan tujuan penutur.Pada peringkat maju dalam kemahiran mendengar juga, murid berupaya untuk memberitahu fungsi tekanan dan intonasi penutur. Pada tahap ini, murid mampu mendengar dengan teliti bentuk tekanan dan intonasi yang digunakan oleh penutur sepanjang perbualan tersebut dan seterusnya dapat menerangkan fungsinya.
Murid juga berupaya untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang didengar. Sebagai contoh, murid akan berperanan sebagai kaunselor untuk menumpukan perhatian bagi mendengar masalah yang dinyatakan secara berhati-hati untuk mengelakkan kekeliruan. Murid tersebut seterusnya akan mencadangkan beberapa jalan penyelesaian bagi masalah yang didengarinya. Pada peringkat maju juga, murid mampu mentafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur tatabahasa.

3.0  PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN BERTUTUR
Kemahiran bertutur juga bukan merupakan satu mata pelajaran khusus di sekolah sama sperti kemahiran mendengar. Namun begitu, kemahiran bertutur harus dikuasai oleh semua murid kerana ia merupakan asas yang amat penting untuk semua aktiviti pembelajaran di sekolah. Berikutan itu, terdapat tiga peringkat yang disenaraikan dalam kemahiran bertutur seperti peringakat awal, peringkat pertengahan dan peringkat maju.
Pada peringkat awal kemahiran bertutur, murid dikehendaki untuk melafazkan pengucapan bertatasusila. Pada peringkat ini juga, murid harus berupaya untuk mengajuk perkataan dan ayat-ayat yang didengar di samping menyoal untuk mendapatkan maklumat. Murid juga dapat membuat teguran atau kenyataan tentang sesuatu situasi. Sebagai contoh, murid dapat memberi pendapat mereka melalui pertuturan dalam membincangkan sesuatu topik yang diberi oleh guru.
Pada peringkat ini juga, murid dapat menggemukakan soalan-soalan mudah berdasarkan situasi tertentu. Sebagai contoh, murid dapat mengutarakan soalan-soalan mudah dalam melakonkan situasi di pasar seperti bertanyakan harga barangan dan seumpamanya. Murid juga berupaya untuk bertindak terhadap soalan-soalan mudah di samping memberi arahan. Pada peringkat permulaan bertutur juga, murid dapat membina ayat-ayat tentang diri sendiri, rakan, ibu bapa dan seumpamanya. Murid juga mampu membina ayat-ayat berdasarkan gambar ransangan. Sebagai contoh, murid dapat membina ayat-ayat mudah berdasarkan gambar seekor burung, sebiji bola, sebuah kereta dan sebagainya.
Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan kemahiran bertutur pula, murid berupaya untuk melakukan deskripsi tentang objek atau gambar, bercerita berdasarkan satu siri gambar atau gambar bersiri, mendeskripsi pengalaman atau sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, murid pada peringkat ini dapat menghurai atau menceritakan tentang sesuatu yang dialami atau dilihat berdasarkan pengamatan dan pengetahuannya.
Murid pada peringkat kedua atau pertengahan ini juga mampu memberi satu siri arahan untuk melakukan sesuatu. Mereka juga dapat membaca iklan dan peraturan, memberi ucapan pendek dan mudah di samping memberi komen secara mudah. Sebagai contoh, murid-murid dapat memberi ucapan penghargaan sempena Hari Guru atau mengucapkan tahniah atau seumpamanya secara ringkas dan mudah kepada guru-guru atau rakan sekelas.
Murid juga berupaya untuk menyoal dan menjawab soalan berkaitan peribadi seseorang, suasana persekolahan, persekitaran, suasana di rumah dan sebagainya. Misalnya, murid dapat bertanya khabar dan saling berbincang mengenai perkara-perkara berkaitan dengan diri mereka sendiri dan persekitaran mereka. Selain itu, murid pada peringkat ini juga mampu membuat ulasan, memberi pendapat atau pandangan secara mudah. Sebagai contoh, murid-murid dapat saling bertukar pendapat atau memberi ulasan mengenai hasil lukisan atau seumpamanya secara mudah.
Peringkat terakhir kemahiran bertutur adalah peringkat maju. Pada peringkat ini, murid sudah mampu mendeskripsi sesuatu peristiwa, objek, permainan, proses dan sebagainya. Murid juga berupaya untuk bercerita dengan menggunakan alat pandang atau tanpa menggunakannya. Pada peringkat ini juga, murid akan mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan, atau dialog. Mereka akan bertanya untuk mendapatkan maklumat di samping mampu menghuraikan proses, kejadian, prosedur dan peraturan.
Selain itu, murid juga berupaya untuk memberitahu arah atau hala tuju sesuatu tempat. Murid-murid pada peringkat ini misalnya dapat membantu murid baharu dengan memberithu kedudukan dan arah ke perpustakaan dari tempat mereka berdiri atau sebagainya. Murid-murid pada peringkat ini juga mampu memberi ceramah atau syarahan di samping mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi, forum, perbincangan, seminar dan sebagainya.
Mereka juga berupaya untuk mengambil bahagian dalam drama atau lakonan, mendeklamasi puisi, dan seumpamanya. Murid pada peringkat maju kemahiran bertutur mampu menyampaikan komen, laporan atau ulasan di samping mengkritik cerpen, pendapat, puisi, novel, dan sebagainya. Sebagai contoh, murid dapat menggemukakan pendapat dan ulasan mengenai puisi atau cerpen yang dikaji secara lisan dengan baik.






Monday 7 April 2014

Mahkota Cinta

Mahkota Cinta ~ Usman Awang


Ladang kita air mengalir di segala liku
tanaman subur menghijau dan rumput-rumput baldu
ia datang matanya bintang suaranya lagu
membawa khabar mesra salam dari ibu
Kucintai tanah ini kerana kami di sini
rumah kecil tapi telah didirikan oleh lelaki
teguh dan keramat seperti gunung besi
ladang tercinta, kubenam hati di sini
Tumbuh segala kasih berbuah berbunga
ladang comel sekarang milik kita bersama
akan lahir manusia baru sudah bernama
setia, putera kasih mewarisi mahkota cinta!

Usman Awang
1966
( Dipetik dari Antologi Puisi Bintang Mengerdip, DBP )