1.0 PENDAHULUAN
Kemahiran
lisan merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap murid.
Murid-murid perlu menguasai kemahiran lisan terlebih dahulu sebelum menguasai
kemahiran-kemahiran bahasa yang lain seperti kemahiran membaca dan meunlis. Murid-murid
yang dapat menguasai kemahiran lisan, lazimnya dapat menguasai kemahiran yang
lain dengan baik. Kemahiran lisan mencakupi dua kemahiran asas iaitu kemahiran
mendengar dan kemahiran bertutur. Kedua-dua kemahiran ini berpengaruh atas satu
sama lain untuk menentukan penguasaan kemahiran lisan. Menurut Siti Hajar Abdul
Aziz (2009), pertuturan yang baik bukan bererti kita meniru cara atau gaya
percaskapaan orang lain, tetapi ia diperoleh hasil daripada kita mendengar
dengan baik ujaran penutur. Oleh itu, bagi menguasai kemahiran lisan dengan
baik, murid-murid harus dilatih untuk menggunakannya secara kerap dan
mengajarkan secara terancang.
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ke-4, “lisan” merujuk kepada sesuatu yang diucapkan atau
tidak bertulis. Secara umumnya, lisan merupakan percakapan atau pertuturan
iaitu merujuk kepada kegiatan melahirkan bahasa secara verbal melalui suaura
atau sebutan (Siti Hajar Abdul Aziz,2009). Menurut Tuan Jah Tuan Yusof
et.al(2011), kemahiran lisan adalah komunikasi bahasa yang paling asli. Hal ini
demikian kerana, seseorang dianggap fasih berbahasa tanpa perlu menguasai
kemahiran membaca dan menulis. Namun begitu, penguasaan kemahiran-kemahiran
asas selain kemahiran lisan tidak boleh diabaikan dalam matlamat melahirkan
modal insan yang seimbang dari segi penguasaan kemahiran.
1.1 Konsep Kemahiran Mendengar
Menurut Dokumen
Standard Bahasa Malaysia SK Tahap 1, kemahiran mendengar merujuk kepada
keupayaan murid mendengar dengar teliti, memahami dan menghayati secara lisan
perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberi
respons. Amnya, kemahiran mendengar adalah salah satu daripada kemahiran bahasa
dan perlu dipelajari secara intensif terutama ketika murid-murid berada di
tahap sekolah rendah.
1.2 Konsep Kemahiran Bertutur
Menurut Dokumen
Standard Bahasa Malaysia SK Tahap 1, kemahiran bertutur merujuk kepada
keupayaan murid berkomunikasi untuk menjalin hubungan dan menyampaikan
maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kreatif dan kritis dengan sebutan
dan intonasi yang betul secara sopan dan bertatasusila. Penggunaan tatabahasa
yang betul diberi penekanan dalam kemahiran bertutur.
2.0 PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN MENDENGAR
Kemahiran mendengar memainkan
peranan penting dalam pergaulan seseorang. Kita perlu mendengar dan memahami
ujaran penutur dan dengan itu kita akan ketahui perkara atau isu yang berlaku
disekeliling kita. Oleh hal yang demikian, kita perlu memeupuk dan melatih
kemahiran mendengar dalam diri kita untuk membolehkan kita menjadi pendengar
yang baik.
Walaupun, kemahiran mendengar bukan
merupakan satu mata pelajaran khas di sekolah, namun kemahiran ini digunakan
secara intensif dalam semua mata pelajaran yang lain. Oleh hal yang demikian,
kemahiran mendengar perlu diajar kepada murid-murid sama seperti kemahiran
membaca dan menulis. Secara amnya, kemahiran mendengar dapat dibahagikan kepada
tiga peringkat seperti peringkat permulaan, peringkat pertengahan dan peringkat
maju.
Pada peringkat permulaan, murid diajar untuk mengecam, mengajuk dan memilih
bunyi. Sebagai contoh, guru akan merakam beberapa bentuk bunyi seperti bunyi
haiwan ternakan, bunyi kenderaan dan seumpamanya lalu meminta murid untuk
mengecam setiap bunyi yang diperdengarkan berdasarkan pengetahuan mereka.
Selepas itu, murid akan diminta untuk mengajuk dan memilih bunyi-bunyi yang
berkaitan berdasarkan arahan guru.
Seterusnya, murid diajar untuk mengecam makna perkataan, frasa dan ayat.
Melalui pelaksaanaan pengajaran ini, murid diminta untuk mendengar, mencatatkan
perkataan yang didengar dan seterusnya menyatakan makna perkataan tersebut
secara spontan. Lazimnya, guru akan menggunakan rakaman lagu atau pantun dalam
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini.
Pada peringkat ini juga murid akan diajar dan dilatih untuk melakukan suruhan
atau arahan yang diberikan oleh guru. Sebagai contoh, murid diberi arahan untuk
mengangkat tangan kanan, maka murid tersebut akan bertindak balas dengan
mengangkat tangan kanan. Dalam melakukan aktiviti tersebut, murid diminta untuk
mendengar secara teliti arahan yang diberi oleh guru sebelum bertindak mengikut
arahan.
Pada peringkat permulaan juga, murid akan bertindak terhadap soalan-soalan
mudah. Sebagai contoh, murid dikehendaki untuk menjawab persoalan-persoalan
mudah yang diutarakan kepadanya secara lisan. Bagi memudahkan pelaksanaan,
aktiviti ini akan dilakukan secara berpasangan iaitu seorang murid akan
bertanya dan seorang lagi akan menjawab.
Pada peringkat pertengahan pula, murid berupaya untuk mengecam dan
mengingat fakta dan butiran yang didengar secara tepat dan terperinci. Pada
tahap ini, murid perlu berupaya untuk mengingat fakta dan butiran yang didengar
secara tepat dan dapat pula mencatatkannya dalam bentuk nota. Pada peringkat
ini juga, murid dapat mengenal maklumat khusus. Sebagai contoh, murid akan
dilatih untuk mengenal dan mengasingkan maklumat khusus daripada maklumat yang
tidak khusus daripada perbualan yang didengar.
Pada peringkat pertengahan juga, murid berupaya untuk mengesan urutan.
Sekiranya mereka diperdengarkan proses membuat sandwic maka mereka seharusnya
dapat mengesan dan meyatakan urutan tersebut langkah demi langkah, sama seperti
yang didengarnya. Selain itu, pada peringkat ini juga murid didedahkan untuk
mengenal pasti sebab dan akibat. Dalam hal ini, murid akan mendengar secara
teliti sesuatu perkara bagi mengenal pasti punca dan sebab kejadian perkara
yang didengari lalu menjelaskan kesan dan akibat yang bakal berlaku.
Murid juga akan berupaya untuk mengenal hubungan orang yang berinteraksi
pada peringkat pertengahan kemahiran mendengar. Sekiranya perbualan tersebut
melibatkan sebilangan penutur yang tidak mengenali antara satu sama lain, maka
pendengar perlu mendengar interaksi tersebut dengan lebih teliti. Pada
peringkat pertengahan ini juga, murid akan dapat mengesan sikap dan perasaan
orang yang bertutur. Murid yang memberi tumpuan terhadap ujaran penutur
sepanjang perbualan berlangsung berupaya untuk mengesan sikap dan persaan
penutur.
Pada peringkat ini, murid seharusnya mampu mengenal isi-isi penting. Sebagai
contoh, murid dapat mengenal pasti isi-isi utama dalam sesebuah karangan. Pada
peringkat ini juga, murid dapat mentafsir maksud penutur. Pada tahap ini, murid
seharusnya mampu menginterpretasikan pertuturan bagi menepati maksud dan tujuan
penutur.Pada peringkat maju dalam kemahiran mendengar juga, murid berupaya
untuk memberitahu fungsi tekanan dan intonasi penutur. Pada tahap ini, murid
mampu mendengar dengan teliti bentuk tekanan dan intonasi yang digunakan oleh
penutur sepanjang perbualan tersebut dan seterusnya dapat menerangkan
fungsinya.
Murid juga berupaya untuk mencari jalan penyelesaian masalah yang didengar.
Sebagai contoh, murid akan berperanan sebagai kaunselor untuk menumpukan
perhatian bagi mendengar masalah yang dinyatakan secara berhati-hati untuk
mengelakkan kekeliruan. Murid tersebut seterusnya akan mencadangkan beberapa
jalan penyelesaian bagi masalah yang didengarinya. Pada peringkat maju juga,
murid mampu mentafsirkan tujuan penutur menggunakan pelbagai bentuk struktur
tatabahasa.
3.0 PERINGKAT-PERINGKAT KEMAHIRAN BERTUTUR
Kemahiran bertutur juga bukan merupakan satu mata pelajaran khusus di
sekolah sama sperti kemahiran mendengar. Namun begitu, kemahiran bertutur harus
dikuasai oleh semua murid kerana ia merupakan asas yang amat penting untuk
semua aktiviti pembelajaran di sekolah. Berikutan itu, terdapat tiga peringkat
yang disenaraikan dalam kemahiran bertutur seperti peringakat awal, peringkat
pertengahan dan peringkat maju.
Pada peringkat awal kemahiran bertutur, murid dikehendaki untuk melafazkan
pengucapan bertatasusila. Pada peringkat ini juga, murid harus berupaya untuk
mengajuk perkataan dan ayat-ayat yang didengar di samping menyoal untuk
mendapatkan maklumat. Murid juga dapat membuat teguran atau kenyataan tentang
sesuatu situasi. Sebagai contoh, murid dapat memberi pendapat mereka melalui
pertuturan dalam membincangkan sesuatu topik yang diberi oleh guru.
Pada peringkat ini juga, murid dapat menggemukakan soalan-soalan mudah
berdasarkan situasi tertentu. Sebagai contoh, murid dapat mengutarakan
soalan-soalan mudah dalam melakonkan situasi di pasar seperti bertanyakan harga
barangan dan seumpamanya. Murid juga berupaya untuk bertindak terhadap
soalan-soalan mudah di samping memberi arahan. Pada peringkat permulaan
bertutur juga, murid dapat membina ayat-ayat tentang diri sendiri, rakan, ibu
bapa dan seumpamanya. Murid juga mampu membina ayat-ayat berdasarkan gambar
ransangan. Sebagai contoh, murid dapat membina ayat-ayat mudah berdasarkan
gambar seekor burung, sebiji bola, sebuah kereta dan sebagainya.
Pada peringkat kedua atau peringkat pertengahan kemahiran bertutur pula,
murid berupaya untuk melakukan deskripsi tentang objek atau gambar, bercerita
berdasarkan satu siri gambar atau gambar bersiri, mendeskripsi pengalaman atau
sesuatu peristiwa. Sebagai contoh, murid pada peringkat ini dapat menghurai
atau menceritakan tentang sesuatu yang dialami atau dilihat berdasarkan
pengamatan dan pengetahuannya.
Murid pada peringkat kedua atau pertengahan ini juga mampu memberi satu
siri arahan untuk melakukan sesuatu. Mereka juga dapat membaca iklan dan
peraturan, memberi ucapan pendek dan mudah di samping memberi komen secara
mudah. Sebagai contoh, murid-murid dapat memberi ucapan penghargaan sempena
Hari Guru atau mengucapkan tahniah atau seumpamanya secara ringkas dan mudah
kepada guru-guru atau rakan sekelas.
Murid juga berupaya untuk menyoal dan menjawab soalan berkaitan peribadi
seseorang, suasana persekolahan, persekitaran, suasana di rumah dan sebagainya.
Misalnya, murid dapat bertanya khabar dan saling berbincang mengenai
perkara-perkara berkaitan dengan diri mereka sendiri dan persekitaran mereka.
Selain itu, murid pada peringkat ini juga mampu membuat ulasan, memberi
pendapat atau pandangan secara mudah. Sebagai contoh, murid-murid dapat saling
bertukar pendapat atau memberi ulasan mengenai hasil lukisan atau seumpamanya
secara mudah.
Peringkat terakhir kemahiran bertutur adalah peringkat maju. Pada peringkat
ini, murid sudah mampu mendeskripsi sesuatu peristiwa, objek, permainan, proses
dan sebagainya. Murid juga berupaya untuk bercerita dengan menggunakan alat
pandang atau tanpa menggunakannya. Pada peringkat ini juga, murid akan
mengambil bahagian dalam perbincangan, perbualan, atau dialog. Mereka akan
bertanya untuk mendapatkan maklumat di samping mampu menghuraikan proses,
kejadian, prosedur dan peraturan.
Selain itu, murid juga berupaya untuk memberitahu arah atau hala tuju
sesuatu tempat. Murid-murid pada peringkat ini misalnya dapat membantu murid
baharu dengan memberithu kedudukan dan arah ke perpustakaan dari tempat mereka
berdiri atau sebagainya. Murid-murid pada peringkat ini juga mampu memberi
ceramah atau syarahan di samping mengambil bahagian dalam perbahasan, diskusi,
forum, perbincangan, seminar dan sebagainya.
Mereka juga berupaya untuk mengambil bahagian dalam drama atau lakonan,
mendeklamasi puisi, dan seumpamanya. Murid pada peringkat maju kemahiran
bertutur mampu menyampaikan komen, laporan atau ulasan di samping mengkritik
cerpen, pendapat, puisi, novel, dan sebagainya. Sebagai contoh, murid dapat
menggemukakan pendapat dan ulasan mengenai puisi atau cerpen yang dikaji secara
lisan dengan baik.
No comments:
Post a Comment